Tel : 05-527 7777, 05-526 5476, 05-526 5477, 05-527 5597 Fax : 05-527 0702 ilpipoh@jtm.gov.my

SEJARAH

Jabatan Tenaga Manusia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Tenaga Rakyat) berperanan sebagai jabatan yang bertanggungjawab bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan dan permintaan tenaga kerja separuh mahir dan mahir bagi sektor perindustrian negara. Kawasan Perindustrian Taman Meru telah dipilih sebagai lokasi bagi pembinaan sebuah institut kemahiran yang bakal menyemarakkan kerancakan ekonomi negeri Perak.

Institut Latihan Perindustrian Ipoh terletak di Kawasan Perindustrian Taman Meru iaitu kira-kira 12 km dari Pusat Bandaraya Ipoh. ILP Ipoh siap dibina pada tahun 1989 dan antara ILP terawal di Malaysia selepas ILP Kuala Lumpur, Perai, Kuala Terengganu, Pasir Gudang, Labuan, Kuantan, Kota Bahru dan Jitra di bawah pentadbiran Jabatan Tenaga Rakyat pada ketika itu. Pada tahun 1990, ILP Ipoh yang lebih dikenali sebagai ITI Ipoh oleh masyarakat sekitar telah mula beroperasi dengan kekuatan 25 orang kakitangan. Pengambilan pertama pelajar ialah seramai 80 orang dengan penawaran sebanyak 5 kursus iaitu Kursus Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Elektrik, Mekanik Am, Fabrikasi Logam dan Kimpalan Arka dan Gas. Majlis Perasmian ILP Ipoh telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak iaitu Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah pada 3 Julai 1992.

Kini institut ini berdiri megah seiring usia 3 dekad penubuhan bagi memperkasakan latihan berteraskan Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja mahir. Institut ini menjadi lambang kebanggaan warga kerja, pelajar dan masyarakat sekitarnya dalam meningkatkan kesedaran pentingnya ilmu kemahiran. Dengan kekuatan kakitangan seramai 142 orang, ILP Ipoh mampu melatih sehingga 950 orang bakal tenaga mahir negara pada satu-satu masa melalui penawaran 10 kursus sepenuh masa dan lebih 800 orang peserta separuh masa sepanjang tahun bagi memenuhi sektor perindustrian negara selaras dengan hasrat negara mencapai status Negara Maju.

Senarai nama Pengarah ILP Ipoh

  1. Syed Mohamad Noor bin Syed Muhamad Ali (Disember 1989 – Julai 1994)
  2. Mohamad bin Yaacob (Julai 1994 –  Disember 1996)
  3. Hashim bin Hassan (Disember 1996 – November 1997)
  4. Zuraka bin Yusof (November 1997 – Ogos 2000)
  5. Halim Azhar bin Mohd Yatim (Oktober 2000 – Mei 2004)
  6. Johari bin Mohamad Tahar (Jun 2004 – Julai 2005)
  7. Rosnah binti Muhamad Tahir (Disember 2005 – Jan 2008)
  8. Jamil bin Yahya (Februari 2008 – Februari 2014)
  9. Hj. Azman bin Ibrahim (Februari 2008 – Februari 2014)
  10. Jamil bin Yahya (Mac 2015 – Okt 2019)
  11. Azmi Bin Mat (Jan 2021 – Sekarang)

 

Skip to content