SEJARAH

Jabatan Tenaga Manusia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Tenaga Rakyat) berperanan sebagai jabatan yang bertanggungjawab bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan dan permintaan tenaga kerja separuh mahir dan mahir bagi sektor perindustrian negara. Kawasan Perindustrian Taman Meru telah dipilih sebagai lokasi bagi pembinaan sebuah institut kemahiran yang bakal menyemarakkan kerancakan ekonomi negeri Perak.

Institut Latihan Perindustrian Ipoh terletak di Kawasan Perindustrian Taman Meru iaitu kira-kira 12 km dari Pusat Bandaraya Ipoh. ILP Ipoh siap dibina pada tahun 1989 dan antara ILP terawal di Malaysia selepas ILP Kuala Lumpur, Perai, Kuala Terengganu, Pasir Gudang, Labuan, Kuantan, Kota Bahru dan Jitra di bawah pentadbiran Jabatan Tenaga Rakyat pada ketika itu. Pada tahun 1990, ILP Ipoh yang lebih dikenali sebagai ITI Ipoh oleh masyarakat sekitar telah mula beroperasi dengan kekuatan 25 orang kakitangan. Pengambilan pertama pelajar ialah seramai 80 orang dengan penawaran sebanyak 5 kursus iaitu Kursus Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Elektrik, Mekanik Am, Fabrikasi Logam dan Kimpalan Arka dan Gas. Majlis Perasmian ILP Ipoh telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak iaitu Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah pada 3 Julai 1992.

Kini Institut ini berdiri megah seiring usia 25 tahun penubuhan menyambut seruan kerajaan ke arah Wawasan 2020 dan K-pekerja. Institut ini menjadi lambang kebanggaan warga kerja, pelajar dan masyarakat sekitarnya dalam meningkatkan kesedaran pentingnya ilmu kemahiran. Dengan kekuatan kakitangan seramai 142 orang, ILP Ipoh mampu melatih sehingga 950 orang bakal tenaga mahir negara pada satu-satu masa melalui penawaran 12 kursus sepenuh masa dan lebih 800 orang peserta separuh masa sepanjang tahun bagi memenuhi sektor perindustrian negara selaras dengan hasrat negara mencapai status Negara Maju menjelang Tahun 2020.

Nama-nama Pengarah

nama pengarah