PENGENALAN 5S

Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S adalah satu pendekatan bersistematik mengenai amalan penjagaan kebersihan tempat kerja dengan menyusun, membersih, membangunkan dan mengekalkan persekitaran kerja yang produktif. Prinsip yang digunakan adalah “Tempat untuk semua dan semua di tempatnya”.

Pelancaran Amalan 5S di ILP Ipoh telah diadakan pada 26 Mei 2010 oleh Yang Berusaha, Tuan Pengarah ILP Ipoh, En. Jamil Bin Yahya. Ketua-ketua Zon dibekalkan dengan banting dan poster Amalan 5S sebagai simbolik pelancaran.

Sebagai permulaan, ILP Ipoh telah mengadakan lawatan penanda arasan ke MODENAS Gurun pada 11 April 2011, IKM Beseri pada 18 Oktober 2011 dan IKBN Seri Iskandar pada 24 April 2012. Lawatan penanda arasan ini memberi lonjakan idea kepada ILP Ipoh untuk memantapkan pelaksanaan amalan 5S dengan lebih berkesan. Pertandingan Mencipta Logo dan Slogan 5S telah dianjurkan pada 26 April 2012 untuk menonjolkan komitmen ILP Ipoh terhadap amalan persekitaran berkualiti / 5S.

ILP Ipoh telah dipersijilkan kali pertama pada 12 Julai 2012 dan persijilan kali kedua pada 11 September 2013. Tahun 2015 merupakan audit persijilan semula kali ketiga daripada pihak MPC. Tahun pertama persijilan, iaitu pada tahun 2012, ILP Ipoh menumpukan kepada proses asas amalan 5S iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. Tahun kedua persijilan, ILP Ipoh menonjolkan projek inovasi bagi memperlihatkan penambahbaikan kepada sistem 5S yang diamalkan. Persijilan kali ketiga pada 12 Mac 2015, ILP Ipoh dimantapkan dengan projek Go Green di samping membuat kajian impak pelaksanaan untuk memastikan objektif 5S tercapai.

Bagi memantapkan pelaksanaan amalan 5S, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh Jawatankuasa Kecil Latihan, Promosi, Audit Dalaman dan Pengiktirafan. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pertandingan kelas terbaik, gotong-royong secara berterusan, taklimat amalan QE/5S, edaran bahan cetak untuk perkongsian maklumat 5S, edaran panduan etika di tempat kerja dan lain-lain. Lawatan penanda arasan juga diadakan daripada semasa ke semasa untuk meningkatkan dan menambahbaik amalan dan sistem yang sedia ada.

ILP Ipoh turut menerima lawatan penanda arasan daripada pihak luar, antaranya daripada Bahagian Teknologi Pendidikan Perak, Royal College Of Medicine Perak dan Kolej Polytech MARA Ipoh. ILP Ipoh juga mengalu-alukan lawatan daripada lain-lain pihak yang ingin berkongsi pengalaman.

Setelah berjaya mengekalkan amalan persekitaran berkualiti sedia ada, ILP Ipoh berhasrat untuk menambahbaik perkhidmatan melalui teknik pengurusan lean. Sebagai langkah permulaan, Kursus Pengurusan Lean telah diadakan pada 11 & 12 Februari 2015 kepada pegawai-pegawai pengurusan ILP Ipoh. Kesinambungan daripada kursus tersebut, beberapa proses telah dipilih untuk dijadikan pilot project. Target utama pihak pengurusan adalah untuk memastikan pelanggan berpuashati dengan kualiti perkhidmatan ILP Ipoh.